Tuesday, September 30, 2008

BERHATI-HATI DIJALANRAYA

  • Musim perayaan telah tiba. Ops sikap yang dilaksanakan oleh PDRM telah 17 tahun diperkenalkan.
  • Melihat statistik kemalangan di musim perayaan adalah amat mengerikan. Penunggang motosikal adalah penyumbang utama (60%) kemalangan maut.
  • Angka kemalangan maut setiap tahun tidak banyak bezanya. Walau penguatkuasaan dan rondaan begitu efektif, namun kemalangan tetap juga berlaku.
  • Seperti kata pepatah malang tidak berbau. Namun mengikut pengalaman penulis, banyak negara yang mempunyai kepelbagaian cara bagi mengelakkan kemalangan jalanraya.
  • Pengguna jalan raya di Malaysia agak ”samseng” sedikit. Semua orang hendak cepat, sehingga lorong cepat jadi lambat. Kalau dimusim perayaan, lorong lambat boleh jadi cepat, memang pening.
  • Rakyat Malaysia biasanya punya dua watak. Satu ketika tidak memandu dan satu lagi ketika berada dibelakang stering. Sikap pemandu di Malaysia memang sukar diramal, tak kira jantina.
  • INDONESIA
  • Indonesia mempunyai sikap pemandu yang menarik. Hon menjadi wajib, sikit-sikit hon.
  • Walaupun dibandar seperti Jakarta dan Medan, kebanyakan pemandu seperti tiada undang-undang tapi hon dan sikap mereka mengatasi segalanya. Memandu di Jakarta atau kawasan bandar di Indonesia perlukan kesabaran.
  • Dikala pergi dari medan ke Aceh, perjalanan selama 20 jam. Pemandu yang memandu Kijang pada kelajuan 90km/jam. Dalam hujan renyai selama 20 jam itu tiada berjumpa sebarang kemalangan jalanraya.
  • Jalan yang dilalui bukannya lebuhraya, Cuma jalan kampung dua lorong. Kalau melalui jambatan, hanya satu lorong sahaja yang lalu.
  • Satu budaya yang terbaik ada pada mereka adalah memberi laluan kepada kenderaan yang memotong. Siapa memotong diberi lesen besar.
  • Kalau bertembung dengan kenderaan sedang memotong, kita harus perlahankan kenderaan atau berhenti dibahu jalan. Kesannya, tiada kenderaan yang bertembung.
  • Berbeza dengan budaya kita. Kalau kita lihat kenderaan memotong, kita nyalakan lampu atau bunyikan hon atau lajukan kenderaan kononya untuk mengacah sebagai tanda protes. Salah acah dua-dua ”kapan”.
  • Ada yang paling ekstrim bila bertembung dengan kereta memotong, kita bunyi hon berpanjangan dan tunjuk buku lima atau ”isyarat lucah”.
  • Sikap inilah yang tiada pada warganegara kita. Undang-undang tidak cukup untuk mengelakkan kemalangan. Kesedaran sivik dari peringkat sekolah perlu disemai kepada seluruh rakyat.
  • Beri laluan kepada mereka yang memotong. Jangan samseng, kerana yang samseng pun mati.

  • VIETNAM
  • Memandu di Vietnam suatu keajaiban. Saigon (Ho Chi Minh City) sebagai contoh. Jalan di Vietnam dipenuhi dengan jutaan motosikal. Jalan sentiasa sesak dengan kenderaan. Kalau sikap pemandu Vietnam macam pemandu di Malaysia, tak tahu apa nak jadi.
  • Kepadatan penduduk menyebabkan bilangan kereta hanya dihadkan kepada kenderaan awam dan pihak swasta sahaja. Orang ramai hanya dibenarkan menggunakan motosikal. Membeli motosikal di Vietnam adalah secara tunai, tiada pinjaman bank atau pinjaman dari syarikat motor.
  • Undang-undang kepada kenderaan awam amat ketat.
  • Perjalanan dengan Bas dari Ho Chi Minh City ke Mekong mengambil masa 3 jam melalui lebuhraya, jaraknya sekitar 100km. Kalau di Malaysia satu jam sahaja, silap-silap kancil boleh makan 45 minit.
  • Kenderaan awam hanya boleh memandu pada kelajuan 70 km/jam, dan mereka cukup berdisplin. Walaupun jalan kosong, mereka kekal dengan kelajuan tersebut.
  • Undang-undang mengawal pemandu mereka. Pemandu kenderaan awam yang disaman kerana memandu laju akan digantung lesen memandu 2-3 bulan disamping dikenakan saman tunai.
  • Mungkin boleh dipraktiskan di Malaysia. Minggu lepas ketika melaui lebuhraya jam 12 malam dari Air Hitam ke Melaka, Bas Ekspress memotong pada kelajuan sekitar 140km/jam.
  • Kalau kita tegas pada kenderaan awam, ini juga boleh menyelamatkan banyak nyawa.
  • Jalanraya di Malaysia agak baik berbanding dengan Indonesia maupun Vietnam. Namun sikap dan undang-undang tidak dapat mendidik kita. Rasuah juga menjadi penyumbang.
  • Sikap tak akan berubah sekiranya undang-undang boleh dibeli.
  • Berhati-hati di Jalanraya, anda mampu mengubahnya !

Saturday, September 27, 2008

ISA – MEMBINA KETAKUTAN RAKYAT

PERTAMA

  1. Minggu lepas saya sempat bersama-sama dengan dua keluarga mangsa ISA.
    Tujuan menziarah keluarga tahanan adalah untuk memberikan sumbangan NGO dan peribadi kepada keluarga mangsa.
  2. Keluarga pertama yang suaminya telah ditahan selama lebih 4 tahun. Membesarkan 8 orang anak bukanlah suatu yang mudah. Anak paling kecil pada usia 6 tahun. Tiga anak beliau sedang mendapat pendidikan Tahfiz di Kelantan.
  3. Mewarisi perniagaan suami yang tak seberapa, digunakan kudrat pada usia 46 tahun untuk meneruskan kehidupan tanpa suami bagi menyara kehidupan dan pendidikan anak-anak.
  4. Bila saya jejakkan kaki dirumah sewa beliau, terlihat dalam rumah ada dua tiga baldi bagi menakung air hujan kerana bumbung yang bocor. Agak dhaif, akibat kezaliman penguasa.
  5. Berapa lama lagi perlu menanti, hanya Allah saja yang tahu. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

KEDUA

  1. Keesokannya saya pergi bersama isteri meziarahi keluarga mangsa kedua. Setibanya dirumah beliau, beliau tiada dirumah kerana masih belum pulang menziarah suami yang sudah lebih setahun ditahan diKemunting.
  2. Kerana isteri beliau belum pulang maka saya berjumpa dengan bapa dan ibu beliau. Banyak yang diceritakan, kesimpulannya sedih, derita dan zalim. Kesimpulan si bapa mudah. “Hati saya masih boleh lega kerana saya akan tuntut keadilan di Mahkamah Allah di akhirat kelak”.
  3. Sumbangan yang dihulur tidak seberapa, sekadar meringankan beban menghadapi syawal.
  4. Sebelum pulang isteri saya sempat mencelah kepada ibu mertua mangsa ISA itu, “suami saya entah bila pula makcik” saya mencelah “orang PAS macam saya tak kena kot”.
  5. Mansuhkan ISA kerana ia memberi ketakutan kepada rakyat.

PELAN STRATEGIK NAJIB - PAKLAH

  • Bukan suatu perkara yang luar biasa bila UMNO menangguhkan persidangan mereka.
  • Tapi penangguhan kali ini dilihat sebagai pelik, sedangkan mesyuarat bahagian UMNO akan bermula tak sampai dua minggu lagi, 9 Oktober 2008.
  • Persoalannya, apakah penangguhan itu kerana tekanan kepada Pak Lah atau mungkin Pak Lah dan Najib membuat perhitungan baru bagi menentang Tengku Razaleigh.
  • Yang pasti, penangguhan persidangan UMNO itu akan membunuh cita-cita Tengku Razaleigh untuk mencabar Pak Lah. Pak Lah dan Najib sebenarnya bimbang sekiranya aliran penentangan akar umbi memihak kepada Tengku Razaleigh.
  • Pak Lah masih mengharapkan pencalonan untuk kekal selaku Presiden UMNO. Semasa sessi soal jawab kepada wartawan, Pak Lah tidak dapat lagi menyembunyikan kebimbangan beliau bila membangkitkan semula bahawa beliau tidak pernah menyertai semangat 46 atau berceramah dipentas pembangkang.
  • Ketika ditanya wartawan kepada Pak Lah, apakah alasan penangguhan itu, Pak Lah tidak dapat menjawab selain menyerahkan soalan itu kepada Najib.
  • Sebab itu istilah yang digunakan oleh Datuk Zahidi Zainol, Timbalan Ketua Perhubungan Perlis bahawa penangguhan itu ada muslihat ada kebenarannya.
  • Datuk Najib mungkin merencanakan pelan ini. Dikala Pak Lah dilihat lemah, ahli mahukan perubahan, Kuli dilihat sebagai individu tunggal yang berani mencabar Pak Lah, maka Najib bimbang ahli UMNO akan mengikut rentak rakyat pada pilihanraya 8 March dari istilah ”asal bukan BN” kepada ”asal bukan Pak Lah”.
  • Sekirannya Kuli berjaya mebawa mesej ”asal bukan Pak Lah”, pelan peralihan kuasa tidak bermakna, Najib merasa dirinya juga tidak bermakna. Cara terbaik adalah dengan menangguhkan persidangan UMNO.
  • Datuk Najib bersedia menunggu sehingga 2010, tetapi beliau tak sanggup melihat pertandingan diantara Pak Lah dan Kuli, ini memperjudikan nasib beliau.
  • Penangguhan ini juga akan memberi harapan kepada ahli UMNO bahawa peralihan kuasa semakin hampir maka Kuli tidak lagi diperlukan untuk membawa perubahan kepada UMNO.
  • Yang pasti Pak Lah dan Najib akan terus diberikan pencalonan. Seperti yang disebut oleh Tengku Razaleigh, pelan peralihan kuasa ini adalah untuk kepentingan Pak Lah dan Najib bukan untuk UMNO, jauh sama sekali untuk kepentingan negara.
  • Yang penting Pak Lah dan Najib yang perlu mendapat pencalonan tertinggi jawatan Presiden dan bukan Tengku Razaleigh. Sekiranya sebelum penangguhan pencalonan Presiden berpecah kepada dua, selepas penangguhan ianya berpecah tiga sekaligus membunuh hasrat Tengku Razaleigh.
  • Berjayakah pelan strategik Najib-Pak Lah ini ?

Tuesday, September 23, 2008

PAK LAH MAMPU MEBAWA PERUBAHAN

  1. Politik dalam Negara masih terus membara dan ianya banyak berkisar kepada pemilihan UMNO.
  2. Ramai orang memberi pandangan agar masalah UMNO adalah masalah mereka dan kita jangan masuk campur.
  3. Saya boleh terima pandangan itu kalau yang rosak itu hanya UMNO. Tapi UMNO adalah penguasa, wang yang mereka belanjakan ada kalanya wang rakyat, cara mereka berpolitik juga memberi kesan pada kestabilan Negara.
  4. Hari ini ramai orang menjangkakan Pak Lah akan kecundang kerana desakan akar umbi kononnya. Suara-suara MT dan Tan Sri Muhyiddin seolah-olah membenarkan lagi bahawa Pak Lah sudah tidak punya sokongan.
  5. Menyedari permainan itu, semalam Pak Lah memulakan langkah pertama, melantik Shahidan Kasim selaku penasihat NCER. Kelantan dan Pulau Pinang mulakan gendang sokongan pada Pak Lah.
  6. Baru dua negeri sokong, Najib terus membisu, Muhyiddin dah mula kendur balik. Kenyataan Muhyiddin semalam bahawa beliau kembali menyerahkan peralihan kuasa kepada Pak Lah. Muhyiddin berpolitik sorong tarik. Sorong bila Dr Mahathir memberikan sokongan untuk kembali kepada UMNO. Tarik bila beliau melihat Dr Mahathir masih tunggu dan lihat.
  7. Umno parti keramat. Orang yang paling kerap mengungkapkan kata-kata ini ini adalah Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam. Tapi Datuk Ali lupa bahawa diMelaka banyak benda yang bermula dengan keramat, kemudian menjadi tahyul, akhirnya menjadi syirik. Pulau besar sebagai buktinya. Sebab itu Datuk Ali kena hati-hati dengan kalimah itu.
  8. Walau apapun pandangan, saya tetap yakin bahawa Pak Lah akan kekal sebagai Presiden UMNO Disember ini. Perdana Menteri, itu belum pasti. Ramai pemimpin UMNO sebut bahawa mereka taat pada Parti bukan pada individu. Itu ungkapan politik. Yang pasti, UMNO telah dididik supaya taat kepada kuasa dan yang berkuasa. Dr Mahathir dipinggirkan bukan kerana beliau meninggalkan UMNO, masa dalam UMNO pun Dr Mahathir sudah ditinggalkan. Puncanya kerana tiada kuasa. Walaupun wawasan beliau menjangkau 2020, tanpa kuasa ianya hanya menjangkau 2004.
  9. Pak Lah pun begitu. Ramai yang suruh beliau berundur. Bila Pulau Pinang dan Kelantan mula memberi sokongan maka beliau dilihat masih kuat.
  10. Kekuatan dan kudrat Pak Lah hari ini adalah amat diperlukan. Kerana politik Pak Lah mampu menghancurkan UMNO dan BN.

Saturday, September 20, 2008

HARGA MINYAK PERLU DITURUNKAN

  • Harga minyak sewajarnya diturunkan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat.
  • Harga minyak semasa telah berada dibawah paras USD92. Ketika harga minyak dunia USD135, rakyat terpaksa membayar RM2.70 bagi setiap seliter minyak. Sekarang ini bila harga minyak telah turun lebih dari 35% kenapa kerajaan masih mengekalkan harga pada RM2.55 . Sepatutnya harga semasa minyak dikala ini adalah pada RM2.05 dan bukannya RM2.55 sen seliter.
  • Sebab itu pandangan yang menyatakan bahawa rakyat sedang memberi subsidi kepada kerajaan ada kebenarannya.
  • Alasan terbaru kerajaan bahawa penurunan harga minyak tidak boleh dibuat tergesa-gesa disebabkan oleh kelemahan nilai ringgit berbanding dolar Amerika. Kerajaan juga harus ingat bahawa bukan semua dagangan berasaskan USD. Begitu juga dengan kadar peratus kenaikan dolar adalah amat rendah berbanding dengan peratus penurunan harga minyak dunia. Apapun perkiraannya, harga minyak sepatutnya telah diturunkan.
  • Dalam masa yang sama kerajaan juga harus menilai kembali, kesan kenaikan harga barang bila kerajaan menaikkan minyak sehingga RM2.70 tempohari. Bila harga minyak diturunkan 15 sen, harga barang kekal tinggi.
  • Inflasi barangan dalam negara kita adalah dikira berasaskan CPI (Consumer Price Index - Index Harga Pengguna) pada barang-barang tertentu sahaja terutamanya barangan kawalan.
  • Kalau dulu nasi lemak RM1.00 sebungkus, hari ini RM1.20, itu menunjukkan inflasi bagi barangan tersebut adalah 20%. Begitu juga dengan roti canai, dikala minyak RM1.92 sen seliter harga sekeping roti canai adalah RM0.70. Bila minyak meningkat RM2.70, sekeping roti canai berharga RM1.00, ini menunjukkan inflasi bagi setiap roti canai telah meningkat sebanyak 43%.
  • Bila harga minyak diturunkan 15 sen tiada sebarang tanda harga barangan turut diturunkan apatah lagi barang kawalan terutamanya dengan krisis makanan dunia.
  • Sebab itu kerajaan didesak menurunkan harga minyak, dalam masa yang sama mencari mekanisme terbaik bagi memulihkan harga barangan pengguna. Subsidi, pemantauan dan semua usaha ini perlu digerakkan sebelum rakyat terus menderita dengan kesan ini.
  • Walauapapun percaturan politik yang berlaku, rakyat tidak boleh dikesampingkan, rakyat adalah sebahagian dari kerajaan yang ada. Turunkan harga minyak sebelum BN diturunkan.

Thursday, September 18, 2008

PAK LAH TIADA PILIHAN

  1. Hari ini Pakatan Rakyat melangkah setapak lagi. Setelah Pak Lah menolak proses pertemuan peralihan kuasa melalui perbincangan, maka PR mengemukakan cadangan agar diadakan sidang parlimen tergempar. Tujuannya satu, membincangkan undi tidak percaya kepada PM.
  2. Parlimen adalah medan terbaik memperbetulkan kekusutan politik. BN boleh membuktikan mereka masih punya Majoriti atau PR juga boleh membuktikan mereka telah berjaya memperoleh majoriti.
  3. Walaupun ditolak Pak Lah, namun yang pasti Pakatan Rakyat tetap telah menunjukkan jalan demokrasi dan kepatuhan kepada perlembagaan. Proses peralihan kuasa mesti dibuat berlandaskan undang-undang negara.
  4. Langkah yang ditunjukkan Pakatan cukup menarik, dari satu episod kepada satu episod. 13 Oktober parlimen akan bersidang semula. Apakah peralihan kuasa mencecah tarikh tersebut, atau Pak Lah terpaksa tunduk kepada kehendak Rakyat sebelum tarikh tersebut.
  5. Ramadhan kali ini benar-benar menguji kesabaran kita. Kalau 50 tahun kita boleh bersabar, inikan pula seminggu, sebulan ataupun setahun. Kesabaran akan jadi penentu samada kita berjaya ataupun gagal.
  6. Pak Lah sudah tidak punya banyak pilihan. PR menuntut peralihan kuasa, UMNO dan BN juga menuntut peralihan kuasa. Terpulang kepada Pak Lah untuk memilih diantara kuasa, keluarga atau kepentingan Rakyat.

Wednesday, September 17, 2008

PAK LAH RASUAH NAJIB ?

  1. Hari ini perkembangan politik Malaysia setapak kebelakang. Pak Lah tukar suka sama tak suka kementerian dengan Datuk Najib. Kementerian kewangan walaupun dilihat lebih kanan berbanding kementerian pertahanan, namun dalam masa yang sukar ini, Pak Lah dilihat meletakkan beban ini pada pencabar terdekat beliau.
  2. Kementerian kewangan akan berdepan dengan suasana lembab ekonomi negara. Alasan kelembapan ini adalah ekonomi dunia juga lembab " biasalah alasan malaysia". Dengan penurunan harga minyak US91 hari ini, maka ia turut memberi kesan kurangnya pendapatan dari hasil minyak.
  3. Sudahlah Pak Lah mengemukakan bajet yang defisit, belanja lebih tinggi dari pendapatan. Pendapatan akan berkurangan, jangkaan paras terendah indeks komposit mengikut penganalisa mungkin mencecah 900 mata, maka ianya merupakan cabaran besar bagi Tok Najib.
  4. Kalau disebut ahli politik, semua orang tahu, hanya Najib yang Mampu menewaskan Pak Lah dalam pemilihan UMNO Disember ini. Najib baru nak buka gelanggang untuk menyerahkan pada bahagian untuk buat pencalonan. Apakah Pak Lah telah merasuah Najib dengan satu kementerian ?
  5. Hari ini Pak Lah kembali dengan Formula 2010, ditambah ayat kalau Najib perform mungkin lebih awal. Ada ahli UMNO tanya ? Macammana kalau Najib tak perform...
  6. Persoalannya kenapa Pak Lah menyerahkan tugas kewangan kepada Najib. Pak Lah sudah 4 tahun pengalaman. Biasanya bila ekonomi negara teruk, Perdana Menteri akan ambil tanggungjawab kewangan.
  7. Dalam sesebuah negara Perdana Menteri adalah orang yang paling berpengaruh, sehingga demam Perdana Menteri boleh menyebabkan ekonomi negara demam. Tapi apa yang diperlihatkan Pak Lah bahawa Perdana Menteri tak beri kesan pada Ekonomi, Perdana Menteri sekarang boleh ada dan boleh tiada.
  8. Serahkah jawatan Menteri Kewangan pada TPM adalah perkara biasa, DSAI masa duduk kerusi TPM dulu juga diberikan mandat yang sama, ini bukan perkara luar biasa. Namun kalau TPM memegang jawatan Menteri Kewangan kesudahannya seperti boleh dijangka.
  9. Malaysia bukan seperti Jepun, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri sama laju. Masa Dr Mahathir PM, Menteri Kewangan DSAI, sama-sama laju. Bila tiba zaman Paklah, PM dan TPM sama-sama tak laju. Kalau Tok Najib lebih laju dari Pak Lah, dia sudah dikira terlajak atau lawan tauke, hasilnya rakyat juga yang susah.
  10. Tapi yang paling pelik, Jawatan Presiden UMNO pun terkial-kial Pak Lah nak pertahankan, ada hati nak Pertahankan Negara dengan jadi Menteri Pertahanan.
  11. Atau Pak Lah tahu kementerian pertahananlah kementerian yang paling kuat kerana disana adalah lubuk kelemahan Najib Tun Razak.

Monday, September 15, 2008

ISA : MEMBELA ISLAM ATAU MENGHINA ISLAM

  1. Antara alasan RPK dan YB Teresa Kok ditahan ISA adalah dikaitkan dengan penghinaan kepada Islam dan Melayu.
  2. Sedar atau tidak, maka tindakan yang dibuat oleh kerajaan itu sebenarnya adalah suatu penghinaan kepada Islam. Kerajaan dilihat cuba mengaitkan Islam dan ISA. Sedangkan ISA pasti bertentangan dengan Islam.
  3. Bagaimana kerajaan boleh menjaga maruah Islam dengan tindakan yang tidak berdasarkan kepada Islam, apatah lagi ISA bercanggah dengan keadilan Islam.
  4. Paling dibimbangi masyarakat bukan Islam menyalahkan Islam dalam perkara YB Teresa dan azan. Hasilnya Islam dilihat sebagai Zalim sedangkan kezaliman itu datangnya dari UMNO selaku penguasa.
  5. Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah penghinaan kepada Islam itu sendiri.
  6. Bebaskan tahanan ISA !!!

HARAPAN RAKYAT MALAYSIA

  1. Rakyat mengharapkan perubahan dalam Negara kita.
  2. Rakyat berharap dapat melihat Malaysia diurus dengan baik, Harga minyak diturunkan, Malaysia kekal Aman. Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan lain-lain bangsa dapat hidup aman damai dan selesa.
  3. Rakyat mengharapkan mereka dapat hidup senang sesuai dengan kayanya negera ini dengan pelbagai hasil terutamanya minyak.
  4. Golongan pekerja mengharapkan gaji mereka bertambah dan setimpal dengan taraf infrastruktur negara yang boleh dikatakan telah setanding negara maju. Apa guna maju kalau gaji masih mundur.
  5. Rakyat mengharapkan agar gaji yang mereka dapat boleh menyara persekolahan anak-anak, makan minum dan pakaian keluarga, sedikit simpanan untuk hari tua dan ketika sakit pening.
  6. Rakyat juga mengharapkan agar ada sedikit lebihan pendapatan untuk membawa anak-anak kepantai atau berkelah ketika cuti sekolah.
  7. Rakyat mengharapkan keselamatan diri dan anak-anak mereka sentiasa terjamin. Anak-anak boleh kekedai, bermain ditaman permainan, atau berbasikal diluar rumah.
  8. Tinggal dirumah menjadi begitu selesa sesuai dengan slogan ’rumahku syurgaku’. Bukan rumah seperti penjara, pintu sentiasa dikunci kerana bimbangkan penyamun dan perompak, malam maupun siang.
  9. Rakyat juga menuntut agar mahkamah negara dapat memberi keadilan kepada mereka. Kalau seorang isteri yang dizalimi suami, ditendang, dipukul, ditindas, apakah ianya boleh mendapat keadilan dalam tempoh sebulan atau ia perlu menunggu 10 tahun untuk mendapat keadilan dimahkamah Malaysia, tak kira syariah atau sivil.
  10. Rakyat juga mengharapkan anak-anak yang dididik dengan sistem pembelajaran jadi cerdik, bila cerdik mereka dapat melanjutkan pelajaran kemenara gading dan bila mereka mendapat ijazah lalu terus mendapat pekerjaan dengan gaji yang setimpal dengan kecerdikan mereka. Bukan jadi cerdik, dapat ijazah, tak ada kerja dan berhutang dengan PTPTN pula.
  11. Rakyat malaysia juga mahu anak yang mereka didik ada akhlak dan jati diri. Apa makna cerdik tapi hodoh moralnya, lepak, berpeleseran, bohsia, bohjan, liar, sek bebas, dadah, pil kuda, metal, black metal, pelacuran dan banyak lagi masalah akhlak remaja yang menjadi mimpi buruk keluarga.
  12. Rakyat mengharapakan mereka dipimpin oleh pemimpin yang amanah, mengutamakan rakyat lebih dari diri mereka.
  13. Rakyat mengharapkan kekayaan negara ini dipulangkan kepada rakyat dan negara akan terus maju dan membangun.
  14. Inilah sebahagian dari harapan rakyat Malaysia, BN sudah gagal memenuhi hasrat ini. Sebab itu bila rakyat ditanya tentang tarikh 16 September, 86% dari mereka percaya bahawa perubahan itu akan berlaku.
  15. Sebenarnya rakyat bukan percaya ianya akan berlaku, tapi Rakyat mahu ianya berlaku.
  16. Kalau 16 September tidak berlaku perubahan, maka Rakyat sebenarnya amat berhasrat agar ianya berlaku pada 17 September atau hari-hari yang mendatang. Itu harapan rakyat malaysia, hanya pemimpin UMNO saja yang membutakan mata. Teruskan perjuangan......

Saturday, September 13, 2008

Kenyataan Media Presiden PAS : Penahanan Raja Petra, Teresa dan Tan memburukkan lagi rekod kerajaan

PAS memandang serius beberapa siri tangkapan di bawah akta zalim ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang dilakukan oleh pihak polis sepanjang hari semalam.

Dalam suasana negara baru sahaja meraikan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 51, PAS merasakan sepatutnya pihak kerajaan sudah mula bergerak ke arah melupuskan sama-sekali akta zalim warisan penjajah ini.

Penahanan penulis dan pengkritik masyarakat Raja Petra Raja Kamarudin di bawah ISA hanya akan memburukkan lagi rekod kepimpinan kerajaan yang sedia ada.

PAS merasakan sekiranya Raja Petra didapati telah melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang maka tindakan yang sewajarnya terhadap beliau adalah mendakwanya di mahkamah yang terbuka bagi mana-mana kesalahan yang dilakukannya dan tidak dengan menggunakan ISA.

Dalam waktu yang sama PAS turut mengutuk mana-mana pihak samada dari kerajaan atau pembangkang yang mengambil kesempatan mengapi-apikan isu perkauman dan keagamaan sehingga mencetuskan keresahan dan pecah-belah di kalangan masyarakat.

Mereka ini seharusnya diambil tindakan berdasarkan mana-mana peraturan dan undang-undang yang ada dan diberikan peluang membela diri di mahkamah.

PAS menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak mencetuskan kekeruhan dikalangan masyarakat. PAS turut ingin menasihatkan pihak polis dan kerajaan agar memastikan yang kestabilan negara dan keharmonian masyarakat terus kekal dalam negara kita yang tercinta ini.

PAS turut merakamkan simpati kepada keluarga Raja Putra, wartawan Sin Chew Daily News Cik Tan Hoon Cheng dan ahli Parlimen Seputeh/ ahli EXCO Selangor YB Teresa Kok, semoga mereka dan ahli keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi situasi yang mencabar ini.

Presiden PAS
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
(13 September 2008)